Sunday, April 5, 2009

Blog ini di'stop'kan.. berpindah ke ...

Salam, kepada pembaca blog ini.. mulai sekarang semua posting baru saya akan dipindahkan ke broyusry.blogspot.com Harap dapat meneruskan bacaan di Blog baru saya.. Terima Kasih 

Tuesday, December 2, 2008

Berlemah Lembutlah dalam Dakwah Kita...

Seorang mendatangi Ma'mun dan Ma'mun adalah seorang khalifah yang cerdas dan paling cerdik pada zamannya, akan tetapi dia mengatakan Al-Qur'an adalah makhluk, dan Allah akan menghitungnya.

Orang tersebut berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku ingin memberi nasihat, akan tetapi aku akan bersikap keras kepadamu! Ma'mun menjawab: "Demi Allah, aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu." Orang itu berkata lagi, "Mengapa?" Khalifah menjawab: "Allah telah mengirimkan orang yang lebih baik dari mu kepada orang yang lebih buruk dari ku."

Allah s.w.t berfirman: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Thaha: 44)

Saya sungguh respect di kalangan kita yang cukup bersemangat dalam islah dan dakwah yang mereka lakukan. Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana kesedaran sahabat-sahabat untuk memastikan tiada setiap inci bumi yang sunyi daripada dakwah kepada agama ALLAH ini. Ada sesetengahnya yang berdakwah secara lemah lembut dan ada juga yang berdakwah dengan tangan itu lebih cepat daripada kata-kata. Dakwah adalah satu seni yang memerlukan kita menggunakan apa sahaja di sekeliling kita lalu dicorak  penyampaian agar dapat membantu dalam menyentuh hati manusia-manusia yang kita dakwah. Seni dakwah setiap orang cukup berbeza. Namun pada pandangan saya yang sebaik-baiknya apabila kita memulakan dakwah kita kepada seseorang maka lemah-lembut adalah kaedah yang terbaik. Yang mana kita mendekati orang yang kita ingin dakwahkan dengan senyuman yang cukup manis. Saya tertarik dengan satu kata-kata "Senyuman adalah sihir", jika senyuman diberi dengan penuh keikhlasan, manalah tahu ia mencairkan hati-hati yang jauh dari Allah lalu membawanya pulang kembali ke jalan kebenaran.

Terdapat di kalangan mereka yang kasar di dalam dakwah mereka, kononnya kerana jika hati itu tidak diketuk dengan keras atau tangan tidak sampai dulu ke muka, maka mereka-mereka yang jauh dari agama Allah ini tidak akan sedar. Lebih-lebih lagi kepada golongan pemerintah yang jauh dari agama Allah. Mungkin betul pada satu sudut. Lalu, saya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah untuk melihat bagaimana Rasul-Rasul terdahulu berdakwah. Mungkin ada cara dakwah yang keras boleh saya gunakan dalam dakwah saya. Namun, tidak saya temui kisah yang menunjukkan Rasul-rasul dan Muhammad sendiri bersikap keras kepada orang yang didakwah selagi mana mereka tidak menghalangi jalan dakwah. Yang saya kerap temui adalah, Rasulullah selalu menahan sahabat-sahabat dari melakukan kekerasan kepada orang yang didakwah.

Wahai sahabat-sahabatku yang sama-sama terlibat dalam usaha dakwah dan islah. Saya ingin menyeru agar kita sama-sama dapat melenturkan lagi kaedah kita berdakwah. Bersikap baiklah kepada orang yang kita dakwah. Memang kita akan teruji dengan karektor-karektor yang menyakitkan hati kita. Tetapi, Muhamad Rasulullah lebih dasyat lagi menerima ujian yang pelbagai. Tetapi, kita termasuklah penulis blog ini pun kadangkala tidak sabar dalam usaha dakwah yang dilakukan. Mungkin kerana darah muda. Namun kita sebagai pendakwah perlulah selalu mengkoreksi diri agar kita-kita dapat memperbaiki diri dan skill dakwah kita. Yang lebih penting, janganlah lupa mendoakan mereka, janganlah mengumpat mereka, tetapi mintalah pendakwah lain juga bersama-sama mendoakan. Semoga, dengan izin Allah orang itu akan berubah dan menjadi lebih baik dari kita dan lebih kencang dakwahnya.

Semoga penulisan yang penuh kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya, kerana ia sekadar cetusan rasa dari hamba Allah yang serba kekurangan bernama Yusry. Sahabat-sahabat semua harap dapat doakan saya agar tetap kuat dan tahan dalam pelajaran yang saya lalui sekarang untuk menjadi seorang pendakwah. Kerana meminjam kata-kata Chee Hong “saya Budak Baru Belajar”

 AU3, Hulu Kelang.

 

 

Sunday, November 23, 2008

Kembali Menulis...

Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Kita bersyukur dengan Rahmat yang diberikaNya kepada kita, sama ada sedar atau tidak.

Sekian lama saya membisu. Lalu, pada hari ini saya akan kembali menulis. Semoga usaha kecil ini. Dapat membantu sahabat-sahabat yang lain yang bersama-sama melakukan usaha dakwah.

Segala pujian hanya layak bagi ALLAH. Terima kasih ya Allah kerana membuat aku kembali mengenali diriku...

Hulu Kelang

Wednesday, September 24, 2008

Ku Hentikan Taipan ku...Untuk kembali Menilai Diri...

Salam, adakah ini yang dinamakan kebuntuan seorang penulis??? Aku terpaksa menghentikan taipanku ini..untuk kembali mengenal diri..

Jika aku telah mula memahami diri..kan ku fikirkan adkah blog ini ada lanjutannya..atau cuma terhenti setakat ini...

Yusry

Tuesday, September 2, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan...Mari Menyuburkan Sunnah..

Assalamualaikum, Alhamdulillah Ramadhan telah tiba..tidak lain dan tidak bukan ia merupakan satu bentuk pendidikan yang diwajibkan atas setiap Muslim..Mendidik Muslim dengan sifat sabar dan menyelami kesusahan diri orang lain..lalu akan lebih lunak hati kita untuk membantu mereka yang memerlukan..

Di bulan Ramadhan ini mari kita menyuburkan setiap hari kita dengan sunnah-sunnah yang diajar oleh Rasulullah dengan bimbingan Wahyu dari Allah..Dengan berlandaskan Al-Qur'an dan As-Sunnah..

Marilah kita menyuburkan Ramadhan kita dengan salah satu sunnah yang besar..iaitu melakukan usaha Islah kepada muslim yang makin jauh dari Islam dan dakwah kepada yang BELUM LAGI MUSLIM..

InsyaAllah bulan ini akan menjadi sumber motivasi untuk kita melakukan usaha dakwah..

Jom Dakwah!
Yusry

Tuesday, August 5, 2008

Membantu Mualaf Jangan Sampai Memanjakan

Assalamualaikum,

sekadar hendak berkongsi pengalaman menguruskan mualaf. Apabila kita sebagai seorang muslim mendengar ada dikalangan kita yang baru Islam (Revert) maka kita akan berasa sesuatu keseronokan yang tidak terhingga dan kita akan cuba memberi segala bentuk bantuan yang kita mampu. Kita akan merasa cukup gembira untuk membantunya.

Jika Revert ini meminta bantuan kita. Maka kita akan membantunya atas nama kewjipan membantu saudara Muslim, lebih-lebih lagi yang baru menerima Islam sebagai cara hidup barunya. Namun, apabila Revert ini datang lagi maka kita masih membantunya tetapi kita sudah mula rasa kurang senang. Dan yang menambah lagi kemarahan kita apabila tidak lama kemudian..DIA DATANG LAGI...ARGHHHHH! TIDAK! Lalu mula timbul cakap-cakap dikalangan kita. "Dia ni mesti masuk Islam sebab nak dapatkan sedekah atau zakat" bisik hati kita.

Tetapi, sebenarnya terdapat kesilapan dikalangan kita dalam membantu mualaf. Saya pun pernah mengalami situasi di atas. Lalu menyebabkan saya pernah merasa kurang percaya dengan mualaf. Tetapi, sebenarnya kita telah salah dalam membantu mereka.

Cadangan saya, jika mereka memerlukan bantuan kewangan bagi setakat cukup-cukup untuk mereka sahaja, jika mereka perlukan makanan berikan mereka makanan. Jika mereka perlukan penginapan, Hidayah Centre JIM boleh membantu. Yang lebih penting kita jangan terlalu memanjakan mereka dengan sentiasa menghulurkan duit. Yang lebih penting jangan terlalu banyak berjanji. Kerana takut anda tidak dapat menunaikannya.

Menjaga mualaf bukan perkara yang mudah kerana kebanyakan daripada mereka telah dibuang keluarga. Kita akan menjadi tempat mereka mengadu. Umpama anda memberikan bahu kepada mereka untuk mereka bersandar. Memang bukan perkara yang mudah. Tetapi jika kita ikhlas insyaAllah segala urusan anda akan dipermudahkan. Kita akan diuji. Tetapi, ujian itu akan upgrade diri kita ke level yang lebih tinggi dan menjadikan kita lebih sabar.

Wednesday, July 9, 2008

Pengalaman Menguruskan Mualaf HIV AIDS

Assalamualaikum,

Lama juga tak menulis dalam blog ini. Kerana faktor kesibukan menyebabkan kadang-kadang nak check e-mail pun tidak sempat. Semalam saya melawat seorang Mualaf, Ah Chan (bukan nama sebenar) dan isterinya. Kedatangan saya semalam lebih kepada menziarahi mereka. Tambahan pula, isterinya sedang sakit teruk. Ah Chan adalah pesakit AIDS dan isterinya pula masih diperingkat HIV. Kami berkenalan hampir setahun melalui seorang kenalan.

Teringat kembali saya merasa gusar pada kali pertama hendak pergi melawat mereka. Pelbagai perkara yang bukan-bukan timbul dalam benak pemikiran saya. "Ish, risaunya. Tak berjangkit ke nanti?". Namun, saya perlu pergi juga. Kerana mereka hendak belajar dan sekurang-kurangnya dapat melalui hari-hari terakhir mereka dengan beriman kepada Allah dan RasulNya.

Pada hari pertama perjumpaan kami tidak ada banyak sangat perkara yang dibualkan. Lebih pada berkenalan dan memahami tentang sakit mereka. Selepas itu, pada pertemuan berikutnya, banyak membincangkan perkara-perkara berkaitan Islam dan soalan-soalan power dari Isterinya yang memang lahir dalam keluarga Muslim. Berterima kasih kepada AM Firdaus, AM Zusuf, AM Anuar, AM Zahir, MM Iman, MM Hilya, MM Wafa, MM Badjie dan ramai lagi yang turut membantu membantu dari segi pendidikan dan kebajikan mereka.

Sepanjang sesi pembelajaran berlangsung seolah-olah kami lebih mengajar isterinya. Ah Chan hanya berdiam diri dan mengangguk jika faham. Jika ada soalan pun biasanya ditanyakan oleh isterinya. Tetapi, soalan-soalan lebih banyak dari isterinya. Isterinya berasa kurang yakin dengan kewujudan Allah dan merasakan bahawa Allah itu kejam. Kami cuba menjawab sedaya upaya. Kadang-kadang soalan yang ditanyakan bukannya soalan mudah.

Saya teringat beberapa soalan yang sentiasa ditanyakan oleh isteri Ah Chan. Untuk pengetahuan anda, isteri Ah Chan ada masalah cepat lupa. Jadi sepanjang berpuluh2 sesi kami dengan mereka. Soalan yang sama masih diajukan..he..he..

1. Betul ke Allah wujud?

2. Kenapa Allah jadikan ada mereka yang lahir dalam kelurga Islam dan ada yang bukan?

3. Adakah Allah akan ampunkan semua dosa-dosanya?

Walaupun soalan-soalan banyak ditanya oleh isterinya. Kami tahu Ah Chan sedang mendengar.

Kehidupan Ah Chan bukan mudah. Di tambah dengan isterinya yang selalu sakit. Ah Chan terpaksa bekerja kuat dan balik sebentar untuk menjaga isterinya. Antara dugaan yang besar yang dihadapi oleh Ah Chan ialah sikap jiran Muslim. Berbanding dengan jiran Non-Muslim yang mengambil berat, jiran dikalangan Muslim pula lebih gemar menyakitkan hatinya.

Apabila Ah Chan keluar bekerja, jiran-jirannya datang menziarahi dan 'bertanya khabar'. Lalu, mereka mula berkata yang bukan-bukan. Kononnya, Ah Chan keluar mencari perempuan lain dan lebih besar lagi, kononnya Ah Chan membeli nasi berlaukkan daging babi untuk isterinya makan. Ini menyebabkan isterinya tertekan dan sentiasa memarahi Ah Chan. Namun Ah Chan melalui semua dugaan ini dengan sabar.

Kadang-kadang perkara ini membuatkan saya hampir hilang sabar mendengar perkara ini. Namun apa yang mampu saya lakukan selain menyuruh Ah Chan bersabar. Inilah sedikit cacatan pengalaman menguruskan mualaf.

Menguruskan mualaf bukan sekadar datang menagajar dan memberi sumbangan jika mereka memerlukan. Anda seolah-olah memberikan bahu anda, sebagai tempat untuk mereka bersandar bak kata AM Firdaus. Jika mereka menghadapi masalah pada waktu tengah malam. Anda perlu pergi membantu mereka. Kadang-kadang ada keadaan yang membuatkan anda bergelak ketawa dan menangis juga dengan mereka. Itulah sedikit catatan pengalaman menguruskan mualaf.

Terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini.

AM Yusry

amyusry.blogspot.com

p/s: Isteri Ah Chan dimasukkan ke hospital semalam kerana sakit yang tidak diketahui. Sama kita berdoa semoga mereka diberi kekuatan untuk menempuhi dugaan sakit mereka. Semoga mereka kuat dalam menghadapi segala cabaran hidup.